Sejarah Bandar Port Dickson




Port Dickson mendapat nama dari pegawai tinggi British bernama Sir John Frederick Dickson yang telah ditempatkan di Negeri-negeri Selat semasa akhir abad ke-19. Sebelum tempat ini dibangunkan dan dimajukan ianya dikenali dengan nama Tanjung oleh orang Melayu tempatan kerana kedudukannya di teluk kecil. Orang Cina dan India tempatan pula menamakan tempat ini sebagai Alang atau Arang oleh kerana berhampiran dengan teluk tersebut terletak sebuah pulau yang terkenal dengan pengeluaran arangnya dan membekalkannya kepada kawasan berhampiran.
Setelah menyedari Arang mencapai kemajuan yang pesat sebagai kawasan perindustrian dan Tanjung sebagai kawasan bandar yang membangun dengan cepatnya, Setiausaha Negeri-negeri Bersekutu Selat, Sir John Frederick Dickson, terus mewartakan supaya Tanjung dijadikan sebuah pelabuhan yang strategik dan juga menjadikannya sebagai tempat istirehat untuk pegawai dan peladang British.


Pembangunan pelabuhan itu juga membolehkan orang-orang British mengambil kesempatan dari perniagaan rempah, teh dan sutera yang menguntungkan antara India dan China. Aktiviti perdagangan yang sibuk antara peniaga dua negara tersebut menonjolkan Selat Melaka sebagai satu tempat perhentian yang sesuai dan praktikal kerana kedudukannya di pertengahan perjalanan bagi saudagar-saudagar kapal itu.

Bagi melengkapi keberkesanan pelabuhan baru ini, berikutnya pada tahun 1891, satu landasan kereta api sepanjang 39km telah dicadangkan untuk menghubungkan Tanjung dan Sungai Ujong yang sekarang dikenali sebagai Seremban. Pelan yang dirangka membolehkan pelbagai jenis barangan yang dibawa oleh kapal niaga seperti rempah-ratus, beras, ubi kayu diangkut melalui keretapi dari pelabuhan ke Sungai Ujong.
 

Lagipun, telah dipastikan bahawa landasan kereta api dan pelabuhan laut dalam memainkan peranan penting untuk mengembangkan perdagangan untuk mengeksport timah dari lombong di Sungai Ujong. Untuk memudahkan pembinaan landasan ini, pihak British membawa masuk tenaga buruh dari India. Dengan usaha yang gigih maka landasan itu telah siap dan dirasmikan oleh Setiausaha Negeri-negeri Bersekutu, Sir John Frederick Dickson. Dengan perasmian landasan kereta api itu, pihak British juga telah menukarkan nama tempat tersebut dari Tanjung menjadi Port Dickson. Sejak dari itu, nama itu telah menjadi sebutan orang ramai di Malaysia malah seluruh dunia.
Sejak mula beroperasi sebagai pelabuhan laut dalam, Port Dickson telah mencapai kejayaan yang cemerlang. Pada tahun 1893 sahaja 600 kapal dari Singapura dan Port Klang berlabuh di Port Dickson memunggah muatan kapal dan kemudian mengangkutnya dengan keretapi ke Sungai Ujong. Pembangun yang pesat, aktiviti pelabuhan yang sibuk dan bertambahnya jumlah pengangkutan barang-barang dari dalam dan luar Port Dickson, satu pusat pemeriksaan Kastam dan Imigresen ditubuhkan pada tahun 1894.
 

Kejayaan pelabuhan ini juga membawa kepada beberapa pembaharuan kepada pusat bandarnya. Bangunan-bangunan kedai papan telah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan kedai batu. Kira-kira 45 bangunan kedai batu telah didirikan sementara permohonan juga diterima untuk tapak tanah kosong disepanjang pantai.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PENGISYTIHARAAN PORT DICKSON
===================================
Pada Disember 2006, Kerajaan Persekutuan telah mengiktiraf Port Dickson sebagai National Beach Resort Town atau Bandar Pantai Peranginan Negara. Pengiktirafan ini diwartakan di dalam Pelan Perancangan Fizikal Negara untuk Negeri Sembilan.


Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan pembangunan Zon Wellness di Port Dickson pada 3 Januari 2007 dan pada 17 Januari 2007, Majlis Mesyuarat Kerajaan telah mewartakan kawasan seluas 61.38km persegi sebagai Kawasan Pembangunan Zon Wellness; dari bandar Lukut ke Pasir Panjang


Pada 29 September 2009, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.Ini adalah sebagai tanda pengiktirafan jasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat yang banyak melahirkan rekrut baru di Port Dickson.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mukim Port Dickson
===============
Mukim Port Dickson merupakan pusat pentadbiran daerah kerana di sini terletaknya bandar Port Dickson yang merupakan nadi atau penggerak utama sektor pentadbiran dan ekonomi di daerah ini. Kaum Melayu merupakan penduduk majoriti didikuti dengan kaum Cina dan India. Kegiatan atau sumber ekonomi yang utama di sini ialah sektor perindustrian, perniagaan, nelayan dan perhotelan. Kilang penapis minyak Esso dan Shell merupakan contoh perindustrian utama yang ada di mukim Port Dickson. Contoh-contoh hotel di mukim Port Dickson adalah seperti Glory Beach Resort, Le Paris, Corus dan Sunshine Bay. Mukim Port Dickson juga mempunyai beberapa produk pelancongan seperti Kota Lukut dan Makam DiRaja Selangor di Pekan Lukut.

Port Dickson merupakan pintu masuk utama pelawat dari luar negara ke Negeri Sembilan kerana di sini terdapat pelabuhan feri penumpang dari Indonesia. Selain daripada Itu terminal bas dan teksi yang merupakan kompleks pengangkutan utama yang menghubungkan Port Dickson di antara bandar-bandar lain di seluruh Negeri Sembilan termasuk Kuala Lumpur.

Mukim Si Rusa
===========
Mukim Si Rusa terkenal dengan pantainya yang cantik dan landai iaitu Pantai Saujana atau lebih dikenali dengan nama Pantai Batu 4. Melayu merupakan penduduk majoriti diikuti dengan kaum Cina dan India. Perhotelan merupakan sektor ekonomi utama di mukim ini diikuti sektor kerajaan, perniagaan, nelayan dan pertanian. Contoh-contoh hotel yang terdapat di sini ialah Golden Straits Villas (GSV), Avillion Port Dickson, Bayu Beach Resort, Seri Malaysia, Selesa Beach Resort dan berbagai lagi. Di mukim ini juga terdapat pusat pengajian seperti Politeknik Port Dickson yang menawarkan berbagai-bagai kursus kemahiran di peringkat sijil dan diploma. Produk pelancongan utama ialah Muzium Angkatan Tentera yang mana merupakan memorial perang yang terbesar di Malaysia. Selain daripada itu ialah Pantai Teluk Kemang.

Mukim Pasir Panjang
================
Mukim Pasir Panjang bermula dari Politeknik di Batu 9, Jalan Pantai menganjur hingga Ke Ayer Hitam di Pengkalan Kempas. Pecahan penduduk terbesar ialah Melayu, Cina dan India. Sektor ekonomi utama bagi penduduk di mukim ini ialah nelayan dan pertanian. Ini adalah kerana di dalam kawasan mukim ini terdapat banyak hutan paya bakau yang amat sesuai bagi penangkapan ikan dan terdapat beberapa ladang kelapa sawit. Selain daripada itu perhotelan juga menyumbang kepada kegiatan ekonomi di sini. Di antara hotel-hotel tersebut ialah Guoman Beach Resort, Ilham Beach Resort, Rachado Beach Point, Palm Spring, Tiara Beach Resort, Eagle Ranch dan Port Dickson Sanctuary. Di sini juga terdapat banyak produk-produk pelancongan seperti Hutan Rekreasi Pasir Panjang, Rumah Api Tanjung Tuan, Eagle Ranch Resort, Kuala Sungai Linggi dan perkampungan nelayan Sungai Sekawang.

Mukim Jimah
==========
Majoriti penduduk yang terbesar di sini ialah Melayu, diikuti Cina dan India. Kegiatan ekonomi yang utama di sini ialah perladangan sawit, perniagaan dan nelayan.Keujudan pusat tenaga seperti Jimah Power dapat meningkatkan lagi peluang ekonomi dan pekerjaan bagi penduduk setempat di mukim ini. Produk pelancongan yang terkenal di mukim ini ialah Kelong Memancing Kuala Lukut yang mana menjadi tarikan utama bagi kaki-kaki pancing dari seluruh Negeri Sembilan dan sekitar Lembah Kelang. Kemudahan chalet, restoran dan umpan juga disediakan.

Mukim Linggi
===========
Kaum Melayu merupakan kaum yang terbesar dalam kawasan mukim ini. Selebihnya adalah orang Cina dan India. Sektor ekonomi yang terbesar dan utama di sini ialah sektor pertanian. Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas merupakan produk utama pelancongan di sisi. Ianya ditadbir oleh Jabatan Muzium Negara. Selain daripada itu Sungai Linggi dan Jeti Pengkalan Kempas merupakan produk pelancongan Yang kaya dengan flora dan fauna. Keindahan alam semulajadi dapat disaksikan bila kita menyusuri Sungai Linggi ini.

No comments:

Post a Comment